Selasa, 29 Januari 2013

SURAT TERBUKA UTK NAJIB DARI AHLI UMNO JOHOR

Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak
Ibu Pejabat UMNO Malaysia
Tingkat 38, Menara Dato’ Onn
Jalan Tun Ismail
50480 Kuala Lumpur

29hb Januari 2013

Menemui Datuk Seri Presiden merangkap Perdana Menteri Malaysia.

Pertama sekali kami berdoa semoga Datuk Seri dan keluarga sentiasa berada dalam keadaan sihat walafiat dan sentiasa berada dalam lindungan Allah.

Kami juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri kerana mengambil langkah yang cukup berani melawat Gaza minggu lepas. Kami amat berbangga dengan keberanian Datuk Seri.

Kami meminta maaf jika kedatangan surat ini sedikit sebanyak mengganggu Datuk Seri dan merencat perencanaan kerja untuk pilihan raya 13.
Kami tidak berniat untuk mengganggu tugas Datuk Seri atau cubaan untuk mensabotaj parti. Matlamat kami untuk memastikan parti dapat menghadapi pilihan raya dalam keadaan tidak ada musuh dalam selimut atau gunting dalam lipatan.

Kami sebenarnya sudah beberapa kali cuba untuk berjumpa Datuk Seri bagi menjelaskan perkara ini tetapi penjaga-penjaga pagar Datuk Seri sering menjadi penghalang utama.

Kami tiada pilihan lain melainkan dengan cara ini sahaja yang boleh kami lakukan agar mesej yang kami hendak sampaikan sampai ke telinga Datuk Seri.

Datuk Seri, sewaktu Tun Dr Mahathir menjadi Presiden UMNO dan PM manakala Anwar Ibrahim selaku Timbalan Presiden dan TPM, Tun banyak memberi kepercayaan kepada Anwar untuk menguruskan pelbagai hal ehwal negara dan parti.

Kepercayaan yang diberikan oleh Tun telah disalah guna oleh si rakus Anwar. Beliau menggunakan kepercayaan Tun untuk membina empayarnya baik dalam parti dan kerajaan.

Jika hendak diperkatakan tentang Tun dan Anwar kisahnya sangat panjang dan semua orang mengetahuinya bagaimana rakus nya Anwar mempergunakan kepercayaan Tun M untuk dia berada di tempat tertinggi termasuklah memangku jawatan Perdana Menteri.

Kisah berkenaan kini hanya tinggal dalam lipatan sejarah setelah ia hampir memusnahkan UMNO pada tahun 1998 hasil tajamnya pandangan Tun pada kelibat Anwar Ibrahim.

Kini setelah lebih 15 tahun berlalu Anwar Ibrahim kedua dikesan wujud kembali di dalam UMNO di bawah pentadbiran Najib dengan modul dan sukatan pelajaran politik yang sama dilakukan Anwar dalam UMNO satu ketika dulu.

Datuk Seri mungkin terlepas pandang gerakan demi gerakan yang sedang berlaku ketika ini. Dalam masa Datuk Seri sedang berusaha untuk menang 2/3 majoriti dalam PRU13,ada pula pihak sedang mengambil kesempatan untuk menyusun gerakan bagi memperkukuhkan kedudukan dalam politik terutama sekali pada pemilihan parti yang akan berlangsung nanti.

Datuk Seri sedang dikelilingi oleh parasit-parasit parti.Datuk Seri sedang dibuai dengan nyanyian yang enak di telinga Datuk Seri oleh pencacai-pencacai terutama sekali sepupu Datuk Seri,Hishamuddin yang sedang memasang badan untuk ke peringkat tertinggi dalam parti dan sepupu Datuk Seri ini menjadi semakin angkuh kerana sepupunya adalah Perdana Menteri.

Sedar atau tidak oleh Datuk Seri sekarang bahawa sepupu Datuk Seri sedang membina empayarnya di dalam UMNO untuk kepentingan politik dirinya ? Kepura-puraan beliau di depan Datuk Seri hanyalah umpan untuk menyedapkan mata dan telinga Datuk Seri. Datuk Seri ada pengalaman mengenal budaya ampu dan bodek ini tatkala Datuk Seri hampir-hampir tewas di Pekan,Pahang pada PRU11 lalu.

Sebagai mahu memenuhi tembolok politik peribadinya,Hishamuddin sanggup melakukan apa sahaja termasuklah menabur fitnah terhadap saingannya,menghantar SMS kepada seluruh rangkaiannya,menggunakan KDN untuk menutup segala kebejatan moralnya dan apa yang didedahkan oleh mantan Ketua Polis Negara,Musa Hassan sampai sekarang tidak disanggah dengan bukti dan beliau hanya menafikannya semata-mata.Ini jugalah stail Anwar masa dalam kerajaan satu ketika dulu.

Hishamuddin umpama biawak hidup yang terpaksa Datuk Seri usung dan pikul.Beliau terlalu banyak mengguna serta memperalatkan nama Datuk Seri terutama sekali dalam soal pemilihan calon bagi mengisi kerusi Parlimen dan DUN untuk PRU13, kononnya Dato Seri memberikan beliau mandat untuk menapis serta mengenal pasti calon-calon dan Hishamuddin terlalu banyak berjanji dengan setiap pemimpin UMNO atau ahli UMNO yang beliau temui.

Sikap hipokrit Hishamuddin ini cukup tebal Datuk Seri,di depan Datuk Seri lain cakapnya dan di belakang Datuk Seri lain pula tindakannya dan senario ini sama beliau lakukan di depan pemimpin-pemimpin UMNO yang lain.

Datuk Seri,beliau juga sedang ligat memasang orang-orang tertentu untuk bertanding dalam pemilihan parti dengan alasan kononnya Datuk Seri yang minta mereka ini menentang calon sedia ada.Begitu jugalah dengan menawarkan orang-orang tertentu untuk menjadi calon kerana Datuk Seri yang minta.

Tidak cukup beliau mengatur pertandingan UMNO di peringkat Bahagian,sepupu Dato Seri ini juga sudah pun menyusun orang-orang tertentu di dalam sayap-sayap parti untuk bertanding merebut jawatan sehingga diberitahu apa sahaja keputusan mesyuarat sayap-sayap parti perlu disampaikan kepadanya.

Kesan daripada menggunakan nama Datuk Seri ini,kita yakin dan amat percaya kalau gerakan sepupu Datuk Seri ini tidak dibendung ataupun diambil tindakan oleh Datuk Seri boleh mewujudkan budaya sabotaj ataupun lompat parti.

Surat ini untuk peringkat ini tidak mahu menyebut atau mendedahkan lagi bagaimana sepupu Datuk Seri ini mengumpul kekayaan terutama sekali di negeri Johor hingga mampu membeli sebuah rumah mewah di kawasan elit di Kota London baru-baru ini, tetapi surat ini lebih kepada mahu memberitahu sikap sebenar Hishamuddin yang selama ini setiap saat dan ketika memperdagangkan nama Datuk Seri.

Datuk Seri sedar atau tidak,helikopter dan kenderaan siapa yang digunakan oleh sepupu Datuk Seri untuk sebarang program parti ataupun peribadi beliau? Datuk Seri sedar atau tidak bagaimana akrabnya sepupu Datuk Seri ini dengan tokoh korporat Cina di Johor bernama Lim Kang Hoo itu ? Pernah Datuk Seri tanya sepupu Datuk Seri hubungan sebenar mereka berdua hingga Lim Kang Hoo begitu bermaharajalela di Johor?

Kenapa begitu hina sekali anak seorang pejuang UMNO sanggup bersekongkol dengan seorang tauke cina untuk meranapkan harta-harta anak bangsa sendiri di bumi Johor ?

Datuk Seri kami sedar apa yang kami lakukan ini ibarat menepuk air di dulang terpercik muka sendiri. Namun apakan daya kami kerana kami tiada jalan lain untuk menyampaikan mesej kepada Datuk Seri.

Sedar atau tidak oleh Datuk Seri sekarang ketika kita sedang sibuk untuk memantapkan jentera parti bagi menghadapi pilihan raya, Hishamuddin pula sibuk memantapkan rangkaiannya untuk menghadapi pemilihan UMNO ?

Beliau sedang sibuk mencatur orang sana-sini untuk berlawan orang itu ini kononnya itu permintaan Datuk Seri. Dalam masa yang sama juga sibuk mencaturkan orang untuk dilantik sebagai menteri, timbalan menteri dan menteri besar.

Ini adalah permulaan Surat Terbuka kepada Datuk Seri berkaitan dengan gelojohnya nafsu politik sepupu Datuk Seri ini dan akan menyusul lagi pendedahan tentang apa yang sepupu Datuk Seri lakukan ini boleh memecahbelahkan UMNO,boleh menggugat kedudukan Datuk Seri sebagai Perdana Menteri Malaysia dan mungkin juga menghalang transformasi politik yang Datuk Seri laung-laungkan selama ini.

Surat ini dibuat kerana ucapan Datuk Seri masa Perhimpunan UMNO lalu yang bertajuk Ubah Atau Rebah dan sekiranya Datuk Seri masih gagal merubah sepupu Datuk Seri ini,yakin dan percayalah Datuk Seri akan rebah bersama-sama sepupu Datuk Seri yang sedang bernafsu besar dalam politik negara ini.

Sekian dulu untuk yang pertama ini dan akan menyusul nanti beberapa pendedahan yang mengejutkan Datuk Seri tentang sepupu Datuk Seri ini.

Sekian

Warga-warga Johor

Tiada ulasan: