Ahad, 29 Julai 2012

Satu Dahan Tapi Ranting Lain Lain

Pelbagai watak ada didalam ahli ahli parlimen yang menyokong Barisan Nasional yang asalnya bertanding atas tiket Pakatan Rakyat. Yang tersohornya ialah Ibrahim Ali, Zulkifli Nordin dan Zaharin. Mereka menang atas ehsan undian dari penyokong pakatan rakyat. Selepas menang mereka berkokok sebagai ayam jaguh yang lupa daratan.

Usah sebut dan kenang mereka lagi. Tetapi bagaimana dengan seorang lagi ahli Parlimen yang kedudukan dan pendiriannya kini tidak menentu. Hitam pun tidak putih pun bukan. Dia dimaksudkan itu Tengku Razaleigh Hamzah ahli Parlimen Gua Musang. Kedudukan Razaleigh menjadi tanda tanya, apakah dia akan bertanding lagi dalam pilihan raya akan datang ataupun bagaimana?

Kalau bertanding apakah dia akan terus menggunakan lambang dacing atau pun lambang lain? Umno seakan memberi laluan kepada Razaleigh. Pengerusi Umno Kelantan, Mustapa Mohamed ketika ditanya mengenai hal Razaleigh mengatakan tidak ada masalah kalau Razaleigh berhasrat terus bertanding atas tikit Umno. Umno sendiri mahukan kepada Razaleigh kerana dia mampu mengekalkan kerusi Gua Musang dan memberi mata kepada Umno Kelantan.

Itu perkiraan Umno terhadap Razaleigh. Umno membuat perhitungan begitu kerana parti itu merasa takut dan terus mengenang zaman kehebatan Razaleigh sebelum ini. Walhal kalau pun Umno mempertaruhkan Razaleigh belum tentu lagi anak raja itu dapat mempertahankan kerusi yang dimenangi sebanyak tujuh atau lapan kali itu. Perlu diingati dalam pilih raya 1999 Razaleigh menang dengan majoriti jauh lebih rendah dengan dicapai sebelum ini.

Kenapa Umno begitu takut dan bimbang dengan Razaleigh? Di Gua Musang Umno ada banyak tokoh yang boleh diletak untuk menggantikan Razaleigh. Keadaan Razaleigh di Gua Musang kini tidak ubah seperti Quran buruk di mana masih ada pengaruh dan keramat tersendiri. Sampai bila Umno mahu menjaga Quran buruk berkenaan?

Itu dipihak Umno dalam melihat Razaleigh. Tetapi bagaimana dengan pendirian dan prinsip ahli parlimen itu sendiri. Satu masa beliau dilihat tidak sejalan dengan Umno, tetapi di dalam masa lain masih mengharap kepada Umno. Pada ketika lain beliau mengeluarkan kenyataan negatif mengenai Umno Kelantan dan keupayaan Mustapa Mohamed sebagai ketua.

Sebaliknya dimasa lain dia tetap mahukan Umno menang di Kelantan. Semasa merasmikan mesyuarat PIBG di Paloh beliau dilapor berkata menyeru orang ramai supaya memberi kemenangan kepada Umno. Sikap dan pendirian Razaleigh ini membingunkan sesetengah orang.

Bagaimana pun yang pastinya beliau ada agenda dan 'buah kilas' tersendiri. Beliau tentu sudah ada perhitungan untuk diri dan politiknya. Cuma bagi saya, saya nampak bekas menteri kewangan itu begitu sayang dengan Umno walaupun dia mengetahui Umno tidak sayang kepadanya. Apa yang dinanti oleh Razaleigh ialah keputusan pilihan raya umum nanti. Ada sesuatu yang beliau berharap kepada keputusan pilihan raya itu. Keputusan pilihan raya akan menjawab segala teka teki mengenainya.

Pada hemat saya Razaleigh menanti Umno tidak mendapat keputusan dua pertiga. Keputusan itu nanti akan ditafsirkan sebagai kelemahan Najib Razak sebagai pemimpin. Waktu inilah nanti Razaleigh akan muncul bagaikan dewa dari langit akan menawarkan diri untuk menyelamatkan Umno. Jadi boleh disimpulkan Razaleigh kini sedang menahan luka di pergentingan. Dan beliau layak untuk berbuat demikian memandangkan ketulusan dan keikhlasan perjuangan dalam Umno. Jika ahli dan penyokong Umno sayang dan cintakan Umno, Razaleighlah yang perlu memimpin parti itu.

Masalahnya apakah telahan dan ramalan beliau itu akan menjadi kenyataan. Bagaimana pula kalau selepas ini Umno menang cemerlang atau pun hilang kerajaan sama sekali. Dia garis mana ketika itu untuk Razaleigh berdiri? Kita tunggu sajalah kerana detik penentu itu bakal muncul juga?

Tiada ulasan: