Cabaran utama UMNO hari ini ialah bergelut dengan persepsi. Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengakui UMNO berhadapan dengan cabaran masalah persepsi di dalam mengukuhkan imej parti politik tanah air.
Beliau berkata selepas pilihan raya 2004, Umno bukan sahaja berhadapan dengan tohmahan pembangkang yang melabelkannya sebagai parti kronisme, elitis dan korup malah terpaksa berhadapan dengan bekas anggota parti yang kecewa apabila gagal meraih kedudukan politik semasa bersama Umno.
Perhimpunan Agung Umno yang akan berlangsung dari 28 Nov hingga 1 Dis ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semua pihak sedang menanti apa perkara baru yang dikatakan perubahan yang UMNO akan pamerkan kelak.
Jika kenyataan Tengku Adnan dihayati dengan mendalam ia membawa mesej bahawa UMNO belum lagi bersedia dengan sepenuhnya untuk menghadapi PRU13 ini. Mereka masih lagi tidak berjaya menghakis persepsi kronisme, elitis dan korup.
Melalui organ propaganda media, ceramah dan pertemuan akar umbi, UMNO masih lagi bermain lagu lama dengan menyeru sepaya pengundi-pengundi jangan menilai individu tetapi harus menilai parti keseluruhan.
Dalam erti kata lain ‘vote the symbol not individual’, pilihlah Dacing walau siapa juga calunnya itu tidak penting. Dendangan slogan ini telah lama bermain dalam setiap kali kempen pilihanraya sehinggalah berlaku kejutan dalam PRU12 2008 bilamana pengundi sudah tidak yakin lagi dengan slogan ini khasnya pengundi baru.
Mereka melihat banyak individu yang dicalunkan yang terdiri dari Ketua-Ketua UMNO Bahagian memenangi jawatan dengan bergelut kuasa dengan politik wang, ‘lavish’, elit dan ego. Mereka tidak dapat menerima individu seperti ini. Akhirnya parti menjadi korban.
Hari ini untuk ‘sedap diri’ UMNO cuba menangkis dengan mengatakan kenyataan itu adalah tohmahan semata-mata dan hanya persepsi sahaja tetapi realitinya mereka masih tidak bersungguh-sungguh mengikis persepsi ini yang ternyata sukar kerana sudah sebati dan menebal dalam kepimpinan mereka. Rakyat sudah boleh menilai di antara keikhlasan dan hippokrasi mereka.
Ada sumber menyatakan bahawa terdapat ura-ura mereka yang telah kalah kerana ditolak rakyat dalam PRU12 akan dicalunkan kembali dalam PRU13 yang akan datang.
UMNO tidak boleh dilihat sebagai ketandusan pemimpin. Jika ini berlaku maka terbukti bahawa perubahan hanyalah janji retorik UMNO dan kepercayaan pengundi kepada UMNO akan terhakis sedikit demi sedikit akhirnya UMNO akan berakhir seperti parti LDP di Jepun.