Dalam Pilihanraya Umum ke-13, UMNO ternyata tersilap strategi ketika memilih seorang calon baru BN bernama Mohamad Ziad Bin Dato’ Hj Mohamed Zainal Abidin untuk bertanding di kerusi DUN No.23 Manjoi, Perak. Umum mengetahui bahawa BN, dalam keadaan terdesak, memerlukan seorang calon berlatarbelakang pendidikan agama bagi menentang calon PAS, Haji Asmuni bin Awi yang merupakan Pengarah Pilihanraya PAS Perak dan bekerja sebagai Peguam. Justeru, pemilihan menantu bekas Menteri Besar Perak, Tajol Rosli, menepati keperluan terdesak ini. Apa yang tidak diketahui umum adalah Mohamad Ziad sebenarnya seorang strategis licik PAS yang bekerja secara tersendiri tetapi berjaya melaksanakan misi merekrut ramai professional muda ke dalam PAS.
Penglibatan Mohamad Ziad dengan PAS bermula semenjak zaman persekolahan lagi. Beliau kemudiannya mengikuti pengajian A-Level di Maktab Sains Mara, Kuala Lumpur (Kini Kolej Politek Mara) pada tahun 1993. Dengan asas sekolah agama, beliau berkeupayaan membimbing rakan-rakannya memahami Islam dan matlamat perjuangan PAS. Kedudukan Maktab Sains Mara KL yang berada tidak jauh dari Taman Melewar juga memudahkan pelajar-pelajar ini mengunjungi Markaz Tarbiyyah PAS bagi memahami dengan lebih lanjut perjalanan organisasi itu. Pelajar-pelajar ini kemudiannya menubuhkan kumpulan yang dipanggil tanzim. Mohamad Ziad adalah seorang yang low-profile. Beliau tidak memegang jawatan Amir. Sebaliknya, beliau selesa memegang jawatan Ketua Lujnah Tarbiyyah; satu lujnah yang amat strategik dalam merekrut anggota baru.
Tanzim yang diasaskan di Maktab Sains Mara berjaya menarik keanggotaan pelajar dan seterusnya Mohamad Ziad dan rakan-rakannya membuat tour ke kolej persediaan lain seperti Kolej NCUK Shah Alam dan Kolej Mara Banting. Mereka meminjamkan buku-buku kepada kenalan mereka di kolej ini seperti buku Apa Ertinya Saya Menganut Islam dan Risalah Usrah. Bermula dari tour yang dibuat, mereka membentuk jaringan kenalan yang akhirnya membantu Mohamad Ziad dan rakan-rakannya menyusun tanzim di UK yang dikenali sebagai Hizbi UK.
Mohamad Ziad tiba di UK pada tahun 1995. Walaupun bertaraf senior di dalam Hizbi UK, beliau memilih untuk bergerak di belakang tabir. Beliau bersama rakan-rakannya menubuhkan kumpulan nasyid yang menyampaikan mesej Hizbi yang digelar Suara Tajdid. Mohamad Ziad adalah seorang pemidato dan pendeklamator sajak yang handal. Ketika peristiwa Demonstrasi Anti Pasukan Kriket Yahudi tercetus di Masjid Ar-Rahman, Universiti Malaya tahun 1997 dan berkesudahan dengan kekerasan pasukan FRU terhadap demonstran, Mohamad Ziad mengecam Dr Mahathir melalui sajak “Engkaukah Yang Angkuh?”. Rakaman ini diedarkan melalui talian Internet bersama-sama dengan lagu “Tragedi Masjid Ar-Rahman”.
Pernah ketika Raihan melonjakkan irama nasyid di Malaysia, Mohamad Ziad dan rakan-rakannya membuat rancangan menganjurkan Malam Kesenian Islam peringkat UK di Birmigham pada musim dingin tahun 1996. Mohamad Ziad bertindak sebagai pengarah pementasan dan penulis skrip bagi pementasan bertajuk “Salahuddin Al Ayyubi”. Mohamad Ziad dan rakan-rakannya kemudiannya menjemput Ketua Pemuda PAS ketika itu, Ustaz Abu Bakar Chik untuk datang ke Birmingham,UK merasmikannya. Program tersebut berjaya menarik kehadiran seramai 2000 pelajar dari serata UK. Ia satu catatan sejarah bagi Hizbi.
Mohamad Ziad juga berperanan membuat jalinan persahabatan pelajar di peringkat antarabangsa. Beliau pernah ke Jordan bertemu rakan-rakannya di sana dan mengajak mereka ke UK membantunya menjayakan aktiviti perkaderan. Antara pelajar yang ditemuinya termasuklah Hasrizal yang kemudiannya datang menginap di UK membantunya menggerakkan Hizbi. Beliau juga pernah berhubung dengan sekutu Hizbi di US iaitu MISNA. Hizbi berjaya menganjurkan himpunan pelajar Malaysia sedunia di Manchester pada tahun 1998. Wakil MISNA, Zuhairi, yang juga merupakan ahli kumpulan nasyid MISNA, Usrah Ar-Raihan, hadir mewakili badan itu. Wakil PMRAM, Aminurrasyid, hadir mewakili negara Timur Tengah. Tahun-tahun berikutnya perhimpunan ini dipindahkan ke Madinah untuk membolehkan pesertanya hadir dan mengambil kesempatan mengerjakan Umrah. Melalui jalinan antarabangsa ini, Mohamad Ziad dan rakan-rakannya berjaya merekrut pelajar Malaysia yang menuntut di universiti serata dunia ke dalam PAS. Golongan ini kemudiannya pulang ke Malaysia dan memegang berbagai jawatan penting di dalam Kerajaan dan GLC. Mohamad Ziad berperanan sebagai salah satu communication hub di antara mereka.
Pada tahun 1999, Mohamad Ziad bersama seorang lagi rakannya di dalam kumpulan Suara Tajdid mengambil keputusan menyambung pelajaran di London dan seterusnya membantu mengukuhkan Hizbi di London. Dengan kehadirannya, Hizbi menjadi kuat sehingga akhirnya menyebabkan Menteri Noh Omar datang ke London membuat kenyataan mengharamkan Hizbi. Ketika pengharaman itu dibuat, Mohamad Ziad telahpun pulang ke tanahair, namun sajak yang dideklamasikannya tetap dimainkan oleh rakan-rakannya sebagai pemangkin semangat mereka. Rakan-rakannya membalas kenyataan pengharaman tersebut dengan membuat kenyataan akhbar.
Sepertimana sebelum ini, Mohamad Ziad memilih untuk hidup low profile tetapi penuh strategik. Sebagaimana Khairy Jamaludin mengahwini anak Abdullah Badawi Perdana Menteri Malaysia, Mohamad Ziad mengambil langkah berani mengahwini anak Tajol Rosli Menteri Besar Perak. Akan tetapi beliau tidak terlalu terburu-buru melompat ke dalam hirarki UMNO. Beliau bergerak dengan penuh berhati-hati agar tidak dikesan musuhnya terutama sekali bekas ahli Kelab UMNO UK yang sudah tentu berjaya menghidu kisahnya di UK.
Kini, setelah 10 tahun menanti, beliau bolos masuk sebagai calon BN di DUN Manjoi. Sukar diramal strateginya kali ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan