Isu calon pilihanraya sentiasa menjadi isu panas dalam UMNO. Begitu ramai yang berebut dan merasakan mereka layak untuk menjadi calon dan bergelar YB.
Bagi mereka yang berjuang dan menjadi pemimpin UMNO, terpilih menjadi calon pilihanraya merupakan pencapaian terbaik dalam karier perjuangan peribadi atau sesetengahnya beranggapan seperti pintu rezeki semakin terbuka dengan luas.
Dengan terpilih sebagai calon pilihanraya, kemudian menang pula, bermacam jawatan dan peluang boleh diraih selepas itu. Darjat dalam masyarakat juga meningkat dan semua itu menjanjikan peluang ke arah kemewahan.
Lantaran itu, tidak menghairankan perebutan menjadi calon pilihanraya dalam UMNO sentiasa panas dan menggelegak.
Jika sebelum ini proses pemilihan calon dibuat melalui cadangan yang dikemukakan oleh UMNO bahagian-bahagian ke ibu pejabat UMNO Malaysia dan kemudian ditapis oleh MT UMNO serta Badan Perhubungan UMNO Negeri-Negeri, namun sejak Najib memperkenalkan istilah "winnable candidate" ini, proses itu yang selama ini menjadi amalan turut melalui perubahan.
Meskipun menjelang PRU 13 ini, semua UMNO bahagian dilaporkan sudah mengemukakan nama-nama untuk dipertimbangkan sebagai calon sebagaimana biasa, namun peranan MT UMNO sebagai badan tertinggi untuk menapis nama-nama yang dikemukakan itu dilihat semakin diketepikan.
Ini berikutan Najib selaku Presiden UMNO yang begitu berhasrat besar untuk merealisasikan pemilihan calon berasaskan faktor "winnable" atau boleh menang dikatakan telah melantik bekas Setiausaha Politiknya, Alies Nor untuk mengetuai sebuah unit untuk menapis calon-calon pilihanraya kali ini.
Alies yang kini dilantik sebagai Pengerusi PWTC iaitu Kompleks Ibupejabat UMNO sebaik Najib menjadi Perdana Menteri, dikatakan mempunyai peranan yang cukup besar dan berpengaruh dalam pemilihan calon PRU 13 ini kerana Najib meletakkan kepercayaan yang tinggi terhadapnya.
Alies dikatakan akan melakukan pemantauan yang menyeluruh terhadap nama-nama yang dikemukakan oleh UMNO bahagian-bahagian dengan kerjasama Biro Tatanegara serta pihak lain yang dilantik seperti YSM menjadi kepercayaannya.
Selain itu beberapa pemantau yang terdiri daripada ahli jawatankuasa UMNO bahagian-bahagian yang diketahui rapat dengan Najib tetapi tiada keinginan untuk menjadi calon pilihanraya telah pun dilantik dalam unit yang diketuai oleh Alies Nor itu.
Dalam masa yang sama, beberapa bekas pemimpin juga turut dilantik dalam unit yang diketuai oleh Alies Nor itu dan antaranya ialah Datuk Al Amin.
Sejumlah peruntukan bermillion ringgit disalurkan kepada unit ini untuk menggerakkan jentera keseluruh negara bagi mendapat informasi.
Peranan unit ini bukan saja meneliti nama serta latarbelakang calon agar memenuhi kriteria "winnable" yang menjadi penanda aras politik Najib tetapi juga difahamkan turut mengambil kira faktor kecenderungan dan kesetiaan mereka.
Ini kerana selain menghadapi tentangan daripada Anwar dan Pakatan Rakyat, Najib juga dikatakan mengambil kira faktor Muhyiddin dalam pemilihan calon pilihanraya kali ini.
Beliau seboleh-bolehnya cuba meminimakan pengaruh Muhyiddin bagi mengelakkan timbulnya desakan agar beliau diminta berundur daripada jawatan Perdana Menteri dan Presiden UMNO jika BN hanya mampu mencapai kemenangan tipis dalam pilihanraya umum nanti.
Sehingga ini unit "tanpa nama" yang diketuai oleh Alies Nor ini sedang sibuk menjalankan tapisan dan siasatan keatas nama-nama calon yang difikirkan berpotensi untuk bertanding sebelum disahkan dan seterusnya dipersembahkan kepada Najib untuk kata putus.
Dengan tugas yang dimainkan oleh Alies Nor ini, peranan Muhyiddin selaku Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri dan MT UMNO secara automatik semakin terpinggir dan tidak lagi penting dalam proses pemilihan calon pilihanraya kali ini.
Adalah dijangkakan bahawa Najib akan mempersetujui sepenuhnya nama-nama yang disahkan sebagai "winnable" oleh Alies Nor itu dan MT UMNO hanya sekadar menjadi "rubber stamp" sahaja.
Peranan dan pengaruh Alies Nor dalam proses penentuan calon ini bukan lagi perkara rahsia dalam UMNO dan ia semakin menjadi bualan di mana-mana sekarang ini.
Malahan terdapat beberapa pemimpin UMNO dari beberapa negeri yang merasakan diri mereka layak dipilih sebagai calon sanggup datang ke Kuala Lumpur berulangkali untuk bertemu dan melobi sendiri dengan Alies Nor.
Sesetengah daripada mereka mendapat jawapan yang sama-samar daripada Alies Nor seperti diminta bersiap sedia tetapi ramai juga yang mengaku sudah pun mendapat pengesahan atau "endorsment" yang jitu sebagai calon yang pasti dalam pilihanraya kali ini.
Merebaknya cerita dari mulut ke mulut mengenai peranan dan pengaruh Alies Nor dalam pemilihan calon di era kepimpinan Najib ini menyebabkan beliau sentiasa diserbu dan dikunjungi oleh pihak-pihak yang ghairah mahu menjadi calon pilihanraya.
Berbeza dengan amalan sebelum ini di mana mereka yang berhajat menjadi calon akan melobi Presiden, Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden, Pengerusi UMNO Negeri serta ahli MT yang dilihat rapat dengan Presiden UMNO, kali ini suasana itu hampir tidak kelihatan lagi.
Sementara tidak semua pemimpin dengan mudah dapat menemui Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri dan dalam yang sama merasakan pihak lain seperti Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden serta Pengerusi UMNO Negeri sudah ketiadaan pengaruh, sebaliknya kini Alies Nor dan Al Amin yang tiada apa-apa jawatan dalam UMNO pula yang menjadi tumpuan serta perhatian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan